Tuesday 5 August 2014

Pengenalan Kepada Pendidikan Khas

DEFINISI PENDIDIKAN KHAS 

Definisi Pendidikan Khas pula ialah satu bidang yang berkaitan dengan kaedah, teknik dan penyelidikan yang tersendiri. Kesemua ini menumpukan ke arah pengurusan dan pembelajaran yang baik bagi menilai dan mematuhi kehendak – kehendak khas. Dari segi praktiknya pendidikan khas merupakan pendidikan individual dengan kaedah-kaedah pengurusan yang bersistematik dari segi susunan fizikal, alatan-alatan khas dan kaedah pengajaran khas. Kesemua intervensi-intervensi yang dibuat ini semata-mata untuk menolong kanak-kanak khas untuk mencapai kepuasan diri dari segi akademik dan vokasional untuk membolehkan mereka berdikari. 

Pendidikan khas juga satu program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid-murid khas. Perkara ini termasuk penggunaan bahan-bahan khas, peralatan khas, teknik pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap kebolehan dan keupayaan murid. “Pendidikan Khas merujuk pada pendidikan bagi kanak-kanak luar biasa iaitu kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial dan emosi yang tidak mencapai pertumbuhan dan penyuburan biasa hinggakan mereka tidak faedah sepenuhnya daripada rancangan sekolah biasa. (Chua Tee dan Koh Boh Boon,1992).

"Satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak berkeperluan khas" Hallahan dan Kauffman(2006)

"Pendidikan Khas merupakan program pengajaran khusus yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan penggunaan bahan-bahan, peralatan dan kaedah pengajaran khusus" Gargiulo(2003)

"Pendidikan khas adalah pengajaran yang direka bentuk khusus bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang kurang upaya. Pengajaran ini mun gkin dikelolakan dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau institusi lain" Friend (2005)

"Program Pendidikan Khas di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan mampu menguruskan serta menyedari potensi diri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara" Mansor (2005)

Apakah itu Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran)?
 
Murid-murid Pendidikan Khas yang dikategorikan bermasalah pembelajaran ialah:
1. Autisme
2. Sindrom Down
3. Selebral Palsi
4. Dileksia
5. Hiperaktif (ADHD) / Hipoaktif
6. Lembam
7. Pintar cerdas
8. Terencat akal yang minima

 
Setiap murid-murid ini mempunyai potensi yang berbeza-beza. Teknik pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai diterapkan mengikut tahap kebolehan murid. Tahap masalah murid-murid ini boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iatu baik, sederhana dan lemah.
Bagi memenuhi keperluan individu proses pengajaran dan pembelajaran di Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran dibentuk secara fleksibel dan ini bertepatan dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997,yang menyatakan
“ Guru -guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat  Pendidikan Khas”.
 
Program Inklusif 
 
Program Inklusif ialah Program Pendidikan Khas (bermasalah pembelajaran) yang menempatkan murid-murid yang berpotensi untuk mengikuti P&P di kelas normal. Pemilihan murid-murid adalah berdasarkan penilaian prestasi dan pencapaian mereka di kelas khas. Menerusi program ini, murid-murid khas berpeluang mengikuti mana-mana matapelajaran di kelas aliran perdana dengan bimbingan daripada guru matapelajaran tersebut dan seorang guru pendidikan khas.
 
KSSR
 
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mula dilaksanakan pada 2011 secara berperingkat bermula dengan Tahun 1 di semua Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan sekolah rendah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Pelaksanaan KSSR bagi Pendidikan Khas adalah seperti berikut:

Murid Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran
)
Murid-murid ini mengikuti Kurikulum Altenatif yang digubal khusus berasaskan KSSR.

Murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan
)
Murid-murid ini mengikuti KSSR arus perdana dengan penambahan Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan (KAIMAL). Kurikulum Pendidikan Jasmani dan Dunia Seni diubahsuai mengikut keperluan murid.

Murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan)
Murid-murid ini mengikuti KSSR arus perdana dengan penambahan Bahasa Isyarat Komunikasu (BIK). Murid Tahun Pengukuhan pula mengikuti KSSR yang digubal khusus sebagai persediaan ke Tahun 1.